Friday, September 27, 2013

::~113~:: Adakah Dia Jodohku... ??


Di kala usia makin meningkat, dengan kehidupan tanpa seorang yang istimewa di sisi, dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang sudah mendirikan rumah tangga, malah ditambahi dengan gambar kehadiran cahaya-cahaya mata mereka, akan terdetik dalam setiap hati bagi setiap yang bujang mengenai persoalan jodohnya. Memang benar, tidak dapat dinafikan bahawa persoalan jodoh itu merupakan rahsia Allah, yang membuktikan kekuasaanNya sepertimana yang tercatat di dalam surah Ar Rum, surah ke 30, ayat ke 21 :

وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [QS. 30:21].


Allah s.w.t menggesa setiap hambaNya untuk berkahwin, kerada pada perkahwinan itu terdapat 1001 hikmah yang tersembunyi yang mungkin tidak dapat dicapai tanpa jalan perkahwinan. Sebagaimana Rasulullah s.a.w juga pernah menyarankan para pemuda untuk berkahwin menerusi mafhum hadis,  

"Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu menanggung beban rumahtangga hendaklah segera berkahwin, kerana hal itu lebih dapat menjaga pandangan mata (yakni tidak memandang perempuan) dan lebih dapat menjaga kesucian diri (dari perbuatan zina). Siapa yang belum mampu, sebaiknya hendaklah dia berpuasa, kerana puasa baginya adalah penjagaan diri" (Muttafaqun Alaih)



Dengan pertambahan umur, pastinya persoalan jodoh merupakan salah satu perkara yang amat memeningkan benak fikiran kita. Adalah sukar untuk mendapatkan jodoh yang boleh memenuhi kriteria diri sendiri, apatah lagi dengan syarat-syarat bakal suami / isteri yang mungkin telah ditetapkan oleh keluarga masing-masing. Berbagai soalan 'cepu-emas' yang seringkali di tanya sahabat handai, sepupu sepapat mengenai insan istimewa yang masih belum memunculkan dirinya di hati, ditambahkan lagi dengan desakan ahli keluarga yang bertanyakan perihal yang sama, sudah tentu persoalan jodoh ini akan berbekas dan terkesan pada hati. Bila keseorangan, perasaan untuk mendirikan rumah tangga dengan insan yang ditentukan ilahi tetap wujud, sehinggakan terfikir dalam kotak fikiran "Adakah ada seorang suami untuk diriku ini? atau mungkin "bilakah dapat aku memiliki cahaya mata seperti mereka itu...?". Tidak dapat dinafikan bahawa naluri keibuan bagi mereka yang bergelar wanita, akan turut serta membancuh setiap persoalan jodoh ini apabila melihat kakak-kakak, abang-abang sendiri memeluk, membelai dan melayan setiap kerenah anak-anak mereka yang bermacam ragam yang pastinya menghiburkan hati dirinya. Ditambahkan lagi dengan layanan si ayah dan ibu terhadap cucu-cucu mereka, sudah cukup untuk membuatkan hati si bujang memikirkan perihal jodohnya.

Memang tidak dinafikan tiada siapa yang mengetahui siapa jodohnya melainkan hanya Allah, tiada siapa yang inginkan hidup berseorangan selama-lamanya, tiada ada lelaki yang tidak mahu memilikki seorang pembantu bagi memudahkan segala kehidupan dunia akhiratnya, dan tiada wanita yang tidak berharap untuk ditemukan dengan seorang lelaki yang bakal membawa dirinya mencapai keredhaanNya dalam perjalanan menuju jannahNya. Tapi, itu semua kehendak Allah. Ketetapan Allah. Kekuasaan Allah. Kita perlu yakin dengan takdir Allah yang mungkin belum mengizinkan kita untuk bertemu jodoh. Maka teruskanlah berusaha, bersabar, dan berharap pada Dia semata-mata dengan penuh pengharapan kerana jodoh seseorang itu sudah tercatat untuknya sejak di Luh Mahfudz lagi, cuma bila waktunya, bagaimana pertemuannya, di mana berlakunya dan siapa insan yang dikhabarkan sebagai pemilik tulang rusuknya itu, adalah dalam ilmu Allah jua.

Tersebut dalam surah Al Baqarah jua, firmanNya,

 سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيم

"Maha suci Engkau ! Tidak ada pengetahuan bagi kami, kecuali yang Engkau ajarkan kepada kami. Karena sesungguhnya Engkaulah yang Maha Tahu lagi Maha Bijaksana." (QS 2 :32)

dan lagi dalam surah yang sama,

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (QS 2 : 216)

Sebab itu disarankan bagi kita untuk menyerahkan segala urusan yang akan datang kepada Dzat yang mengetahui segala yang akan berlaku, dan redha dengan pilihan dan ketetapan Allah kerana Dia sahajalah yang berkuasa menetapkan apa yang hambaNya tidak tahu.

Jika jodoh yang di tunggu masih tidak muncul-muncul, maka persoalkan diri kita semula. Apakah cukup usaha yang aku lakukan ? Apakah memenuhi segala syaratNya sebelum ku memohon padaNya ? Dan apakah yang menjadi penghalang doaku kepadaNya sehingga doaku terhijab olehNya ?

Ya, memang benar. Ramai beranggapan bahawa sudah memadai dengan sekali solat istikharah dan beberapa kali berdoa meminta dipermudahkan urusan jodohnya. Namun masih wujud di antara kita yang sekadar menunggu tanpa diiringi dengan usaha untuk mendapatkan jodohnya. Semua ini masih tidak cukup dalam mendapatkan satu urusan ibadah yang agak besar di dalam islam, yakni perkahwinan. Maka, diingatkan agar bagi mereka yang merangkak masuk di dalam alam perkahwinan, bertaubatlah dari segala dosa sebelum memanjangkan doa kepadaNya, perbanyakkanlah sayyidul istighfar. Bangunlah bertahajud sambil bermohon doa di dalam sujud padaNya. Mohonlah dipermudahkan segala urusan jodoh pada waktu-waktu yang mustajab doa. Ikutilah saranan nabi s.a.w agar memperbanyakkan puasa sunat di kala membujang ini, kerana pada puasa itu banyak hikmahnya tersendiri. Lazimkan diri melakukan solat dhuha, kerana solat dhuha itu bukan sahaja membuka pintu rezeki, bahkan menarik segala rezeki kepada insan yang istiqamah melakukannya. Andainya sudah memilikki, lakukan istikharah memohon petunjuk yang terbaik dariNya dan kuatkanlah istisyarah dengan ahli keluarga terutama ibu bapa masing-masing bagi menyakinkan diri bahawa jodoh yang dipilih itu adalah yang terbaik untuk dirinya.

Selain itu, cuba kita renungkan dari aspek sosial. Muhasabahkan diri. Di antara sebab yang tembok penghalang segala doa ialah perkara-perkara mungkar yang kita ambil remeh dan tidak nampak secara zahir sebagai satu dosa. Ikhtilat bebas. Bergaul berlebihan dengan bukan mahram. Bertabbaruj, walaupun memakai pakaian menutup aurat tapi masih berhias berlebihan sehinggakan menarik syahwat lelaki. Maka, hadkan diri kita dari ikhtilat bebas dengan bukan mahram, kurangkan bercakap mengenai perkara yang sia-sia dengan yang berlainan jantina, tahan mata kita dari melihat gambar-gambar yang terdedah sana sini.

Seandainya semua kita telah patuhi, segala aspek syariat kita ikuti, maka bersabarlah dan teruslah bersedia dengan ilmu-ilmu rumahtangga. Adakalanya kita merasakan diri kita sudah bersedia, padahal Allah tidak memberi kerana diri kita masih tidak layak mendapatkan jodohNya. Mungkin dari segi keterbatasan ilmuNya, mungkin diri masih tidak layak menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, mungkin juga si wanita tersebut masih belum mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri mahupun ibu pada anak-anaknya. Maka, ini jugalah masanya untuk kita menimba ilmu sedapatnya. Datangi alim ulama, hadirkan diri dengan halaqah-halaqah pengajian, sibukkan waktu dengan usrah-usrah yang menambah ilmu kita dan lazimkan zikir-zikir memuji Allah. InsyaAllah, jodoh kita akan dipermudahkan.

أَلَمْ يَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَىٰهُمْ وَأَنَّ ٱللَّهَ عَلَّٰمُ ٱلْغُيُوبِ

"Tidaklah mereka tahu bahwasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahwasanya Allah amat mengetahui segala yang ghaib." (QS 9 : 78)

La takhof, wala tahzan. Innallaha ma'ana. Usah takut, usah pula kamu bersedih hati kerana sesungguhnya Allah tetap bersama kita. Ingatlah Allah sebanyak-banyaknya, nescaya akan ditemukan ketenangan padanya....

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ

"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." (QS 13 : 28)

Peliharalah iman agar tidak terdorong dengan godaan syahwat. Dindingilah hati dengan kalimah zikir memujiNya agar tidak tertipu dengan hasutan nafsu. Jagalah iman sebagai nakhoda keluarga, jagalah maruah sebagai seorang wanita yang bakal bergelar isteri, jangan sampai nasibnya menjadi seperti epal yang masak ranum di puncak pohon, tapi akhirnya gugur ke bumi lalu membusuk dan tidak berguna hanya kerana tiada yang sudi memetiknya....

Nasihat ana,

Bila ALLAH ada di dalam hatimu, kamu seolah-olah MEMILIKI segala-galanya..Itulah KEKAYAAN, KETENANGAN dan KEBAHAGIAAN yang hakiki..YAKINLAH denganNya..♥

"Jaga diri. Jaga iman. Jaga hati. Yakinlah Allah sentiasa menentukan yang terbaik untuk kita".

Semoga dipermudahkan untuk antum, biiznillah.



Closed : 5.21pm, Nilai.


Click to Share With Others :
Technorati Digg This Stumble Stumble Facebook Twitter
YOUR ADSENSE CODE GOES HERE
 

[::~The Bebeller~::]

My Photo
ZaaRz
Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia
Saya tak suka menulis. Tapi saya suka bercerita. Dengan itu tak bermaksud saya suka cakap, saya seorang yang pendiam aje. Tak reti nak cerita pasal 'orang lain', kutuk-mengutuk, fitnah-menfitnah, caci-mencerca bukan style saya. Saya hanya menulis fasal diri saya dan mereka-mereka di sekeliling saya. Semua cerita yang saya karang, merupakan pengalaman istimewa untuk saya. Dengan tambahan rakan-rakan sebagai penyeri, family yang menceriai hidup ini, dan mak ayah sebagai pelengkap hidup, saya rasa hidup saya amat bermakna. Kerna diriku sungguh berharga, auu! Anyway, kalau saya rajin, banyak masalah yang perlu diluahkan, or even ada idea nak sembur-sembur sini, ada lah post baru. tiba time malas? Maaf aja la. Oh ye, saya tak ramai kawan. Cuma ramai peminat aje, hotttt kan saya? Hidup & diri saya simple. Dan Alhamdulillah dengan kesimple-lan itu, saya jadi diri saya yang sebenar-benarnya. Terima Kasih buat kengkawan yang bakal mahupun pernah bergelar kawan saya. Anyway, hontouni arigatou kerana singgah sini.. =)
View my complete profile

[::~Recent Entries~::]

Powered by Zaarz

[::~Top Commenters~::]

Powered by Zaarz

| ::~EnDLeSS ThouGhT oF MiNe~:: © 2009. All Rights Reserved | Template Style by My Blogger Tricks .com | Design by Brian Gardner | Back To Top |